Apa itu Coronavirus(nCoV 2019)? Ianya adalah novel coronavirus atau koronavirus baru dimana ia dinamakan sebegini kerana uu merupakan kali pertama kita berhadapan dengan virus tersebut.
Sama seperti koronavirus yang lain, selalunya ia mesti berasal daripada haiwan dimana haiwan tersebut menjadi hos kepada virus itu.
Kebanyakan mereka yang dijangkiti penyakit ini pada mulanya adalah mereka yang bekerja dan kerap membeli di Huanan Seafood wholesale market iaitu pasar yang menjual makanan eksotik di Wuhan.
Kebanyakan virus yang berbahaya selalunya bermula daripada hos haiwan sama seperti MERS-CoV, SARS-CoV dan juga Ebola. Semua itu daripada haiwan.
DARI SEGI EKONOMI
SARS telah melembapkan KDNKK China secara drastik, dari 11.1% pada suku pertama 2003 ke 9.1% ke suku kedua 2003. nCoV juga diramalkan akan mencapai kesan yang sama sekiranya wabak ini tidak dibendung, tambahan lagi wabak ini menyerang ketika Tahun Baru Cina, di mana aktiviti ekonomi adalah antara yang tertinggi.
Dengan sekatan perjalanan udara, keretapi, dan jalanraya di China, aktiviti hotel, kedai makan, dan aktiviti lain yang berkaitan pelancongan dijangkakan akan menerima kesan negatif.
Namun, Louis Kuijs, seorang ahli ekonomi di Oxford Economics menjangkakan bahawa kesannya akan bersifat sementara walaupun besar, seperti sebuah bom letupan yang tidak meninggalkan kesan setelah beberapa saat. Inilah yang berlaku ketika penularan wabak SARS dahulu.
Nicholas Lardy, seorang pakar ekonomi di Peterson Institute for International Economics di Washington mempunyai pendapat berlainan. Menurutnya, Wuhan adalah bagaikan Chicago China – sebagai antara hab industri yang terbesar di China, kuarantin yang ketat ataupun lockdown akan memberikan impak yang lebih besar dari SARS.
Lebih-lebih lagi, kerajaan China telah melanjutkan cuti perayaan Tahun Baru Cina sehingga 2 Februari supaya wabak dapat dibendung. Ini sudah tentunya akan menjejaskan produksi.
Kini, China tidak lagi mempunyai ruang yang banyak untuk merangsang ekonomi untuk berdepan dengan kelembapan kerana kadar hutang keseluruhan sedia ada yang sudah tinggi, dianggarkan 304% kepada KDNKK. Kadar hutang kerajaan pula ialah setinggi 52.50% kepada KDNKK.
Kelembapan ekonomi ini dijangkakan akan dirasai secara global, kerana ekonomi China menyumbangkan sekitar 18% kepada ekonomi global. Bak kata ahli-ahli ekonomi, “when China sneezes, the world catches a cold”.
Menurut NY Times, sekatan akan menyebabkan import bijih besi dari Australia dan India terganggu, mengurangkan produksi di kilang-kilang China dan menjejaskan produksi cip komputer dan paparan panel kaca (glass panel display) di Malaysia dan Korea Selatan. Ia juga boleh menjejaskan mesin kilang dan komponen automotif yang dihasilkan di Jerman, Republik Czech, Hungary dan Poland.
Agathe Demarais, pengarah pengunjuran global di Economist Intelligence Unit mengatakan bahawa masih terlalu awal untuk menilai kesan penularan nCoV kepada ekonomi global. Sekiranya ia berlanjutan dan mengakibatkan kadar kematian yang sangat tinggi, ia akan menyebabkan sekatan perjalanan udara yang lebih meluas dan dan menjejaskan ekonomi global.
The Conference Board menganggarkan kadar KDNKK US pada suku pertama 2020 ialah 2.2%. Sekiranya sekatan perjalan yang ketat dikenakan, Moody’s Analytics menganggarkan KDNKK US berkurang sebanyak 0.1% pada suku pertama 2020, menjadikannya serendah 2.1%.
S&P Global telah menerbitkan sebuah kertas kerja yang menggariskan kesan-kesan kepada aktiviti ekonomi secara kasar. Menurutnya, penularan wabak koronavirus akan menjejaskan perbelanjaan isi rumah, perbelanjaan kapital syarikat, perbelanjaan kerajaan, aktiviti perdagangan dan mengurangkan bekalan untuk industri pembuatan dan perkhidmatan.
Negara yang terkesan seperti China juga akan mengalami aliran dana keluar, yang menurunkan harga aset seperti saham, hartanah dan nilai matawang.
Harga minyak dunia susut hampir lima peratus minggu ini apabila kebimbangan wabak coronavirus di China akan merebak, menjejaskan permintaan bahan api, perjalanan udara dan prospek ekonomi.
Bagaimanapun, harga minyak hari ini meningkat disokong oleh penurunan dalam simpanan minyak mentah Amerika Syarikat (AS).
Niaga hadapan minyak mentah Brent menokok 24 cents, atau 0.4 peratus, pada AS$62.28 satu tong selepas jatuh sehingga 1.9 peratus minggu sebelumnya.
Bagi minggu ini, Brent susut empat peratus.
Niaga hadapan West Texas Intermediate berada 24 cents, atau 0.4 peratus lebih tinggi pada AS$55.83 satu tong.
Kontraknya susut dua peratus semalam dan lima peratus lebih rendah minggu ini.
“Penjualan besar-besaran berikutan kebimbangan wabak selesema, dihentikan oleh penurunan dalam inventori minyak mentah AS,” kata Ahli Strategi Pasaran AxiTrader, Stephen Innes.
“Harga minyak akan kekal dalam cerun penurunan kerana peniaga kekal bimbang dengan kesan wabak coronavirus terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China dan perjalanan udara secara umumnya,” kata Innes.
Virus itu telah menjangkiti lebih 800 orang di China setakat ini, dengan 25 kematian dicatatkan, menurut Suruhanjaya Kesihatan Negara China.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengisytiharkan situasi itu sebagai darurat, namun tidak mengisytiharkan epidemik itu sebagai satu kebimbangan antarabangsa.
Kebanyakan kes itu terletak di bandar Wuhan, di mana virus dipercayai berasal akhir tahun lalu, walaupun kesnya turut dikesan di sekurang-kurangnya tujuh negara lain.
Berita daripada Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) bahawa inventori minyak mentah dan minyak suling AS susut minggu lalu memberikan sedikit sokongan kepada harga minyak.
Sementara itu, eksport bahan api bertapis dari India meningkat pada Disember apabila ekonominya yang perlahan memberi kesan kepada permintaan domestik.
Eksport bahan api bertapis India menokok 24.2 peratus pada Disember berbanding setahun lalu kepada 6.46 juta tan, pertumbuhan terpantas sejak Oktober 2016, demikian menurut data rasmi.
No comments:
Post a Comment